Sunday, September 13, 2009

Kenangan Raya waktu dulu

Pengakhiran Ramadha ini membuatkan aku rindu terhadap arwah emak. membuatkan aku rindu terhadap suasana kampung dan kesederhanaan kami semasa dulu untuk menyambut raya. Persiapan untuk raya hanya ala kadar dan dibuat sendiri oleh emak. Emak akan berpakat dengan Wah lebor (Mak saudara sepupu) dan Mak baruh (emak yang memelihara aku) untuk membuat kuih muih. Di tempat aku sebenarnya tiada istilah "kuih" yang ada hanyalah "penganan" atau "koi". Koi yang mesti ada adalah koi goyang (loyang?), koi lipat, koi lemben bakor dan dodol. Kalau ada rezeki lebih mak akan buat koi semprit. Bila tiba hari raya, ketiga-tiga buah rumah mempunyai koi yang sama, rupanya sama dan rasanya pun sama! Yang lain cuma lemang dan rendang, sebab buat lemang dan rendang adalah mengikut cita rasa masing masing.

Semasa aku kecil dulu, aku tak paham kenapa mak suka buat kuih yang sama setiap tahun. Bila aku besar barulah aku paham bahawa budget mak kecil saja. kalau ada duit lebih emak lebih suka simpan. "Untuk kome belajor masuk universiti nanti" kata mak. Apa tidaknya nak buat koi goyang cuma perlukan tepung beras, telur, air dan minyak masak untuk menggoreng. Untuk koi buahulu, cuma perlukan telor ayam, gula dan tepung gandum. Untuk koi lemben bakor, cuma perlukan telur, air, gula dan tepung ubi. Telor selalunya mak ambil telur ayam kampung yang banyak mak bela.

Aku selalu protes kerana tiap tiap tahun mak buat kuih yang sama. Apatah lagi kuih kuih tersebut bukannya aku suka sangat. aku lebih suka makan biskut ala ala orang putih yang ada majerin dan macam macam bahan lagi. Bila aku bising emak akan kata "makan aje mane yang ade, kite ni bukannya oghang kaye". Aku cuma diam dan tak paham apa maksud emak.

Bila dah tua tua ni, barulah aku paham. Sebenornya mak tak ada duit nak buat koi mahal mahal. Mak tak ada duit nak beli bahan bahan yang diperlukan untuk membuat biskut ala ala orang putih. Sebenarnya, kuih tu tak penting buat mak. Tapi pelajaran kami adik beradik lebih penting dari kuih kuih yang mewah. Selepas aku paham, baru aku rasa betapa enaknya kuih muih yang mak buat. Bukan kerana resepinya, tetapi kerana kasih sayang yang emak curahkan semasa membuat kuih muih tersebut.

Kini setelah mak dah tiada, tiada lagi kuih kuih tersebut bila hari raya. Yang boleh masak macam emak cuma kakak sulung aku, Encik Shimah (orang parit, kakak sulung dipanggil Yong atau Encik). Itu pun tak seberapa kerana emak tak pernah menurunkan resepinya secara bertulis, cuma secara lisan dan "try and error". Bila aku terjumpa kuih kuih tersebut dikedai, aku cuba beli. Tapi tidak seenak yang dibuat oleh mak. Kerana ia tiada bahan utama - iaitu kasih sayang mak terhadap anak anaknya!

Kini semua itu dah tiada. Isteriku berasal dari negeri lain, semestinyalah kuih muihnya pun lain. Lagi pun isteriku berkerja, tiada masa untuk membuat kuih. Semuanya kuih muih yang ada semua menggunakan satu bahan aja - kertas "cap kepala Agong'! Anak anak aku pun terlepas untuk menikmati bahan utama untuk membuat kuih muih tersebut - kasih sayang ibu mereka.

Pada anak anak aku, kuih tak lebih dari kuih - untuk dimakan. Tapi pada aku kuih kuih yang mak sediakan bukan sekadar kuih, tetapi adalah lambang kasih sayang emak pada apak dan pada kami adik beradik. Itulah yang tak dapat disediakan oleh sesiapa pun selain dari mak.

No comments: