Saturday, May 7, 2011

Selamat Hari Ibu buat Mak tersayang

Dah lama aku tak update my blog. Sejak aku tukar kerja ke iPerintis. Banyak kerja yang perlu disiapkan.

Selalunya aku bercakap tentang politik. Tapi hari ini aku nak khaskan blog aku untuk insan yang istemewa dalam hidup aku. My mak.

Aku bertuah kerana aku mempunyai 2 emak, satu bapak dan satu ayah. Keliru? Tunggu dulu, biar aku cerita kan.

Kononnya masa aku dilahirkan dulu, aku ni punya hobi yang pelik. Kuat menangis. Pada masa tu mana ada doktor macam sekarang. Aku cuma diam kalau duduk dengan nenek saudara aku. Lama kelamaan, aku diberikan untuk dipelihara oeleh nenek saudara aku. Insan yang melahirkan aku aku panggil emak darat, dan nenek saudara yang memelihara aku, aku panggil emak baruh. Bapa kandung aku panggil apak. Bapa yang memeliharaku, aku panggil ayah. Rumah emak/apak dan emak/ayah adalah berdekatan. Rumah mak/apak didarat tembok (jalan), rumah mak/ayah di baruh tembok (jalan). Aku dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh empat insan yang istimewa dalam hidup aku. Sehinggalah aku melangkah kaki aku untuk berangkat keluar negeri untuk melanjutkan pelajaran aku di Australia.

Cerita Mak Darat:
Lantaran kami adalah dari keluarga susah, emak dan apak selalu bersusah payah mencari rezeki untuk membesarkan kami. Pagi emak akan mengayuh basikal sejauh 5KM untuk kekebun getah. Balik dari menoreh, mak akan kebendang pula. Balik waktu tengahari untuk memasak untuk abang dan kakak aku. Selapas Zohor, mak bersiap siap pula untuk kesawah semula. Begitulan rutin mak setiap hari sehingga apak mula berkerja dikilang MARDEC diBota.

Emak seorang tegas dan garang. Kalau silap sikit, siaplah kena leter. Kalu degil lagi kena rotan lah jawapnya. Dalam keluarga, akulah yang paling degil dan manja, sementelah aku adalah anak bungsu. Kalau mood mak baik, dia akan panggil aku dengan panggilan "Manja". Walaupun spoil, aku adalah anak yang paling cerdik. Selalu dapat nombor satu dalam setiap peperiksaan.

Tapi ada satu yang aku begitu malas... Pergi sekolah. Ada saja alasan yang aku berikan untuk tidak kesekolah, terutama sekolah agama diwaktu petang. Emak baruh tak akan marah... cuma kalau mak tak nampak aku mula berjalan kaki kesekolah, dia akan datang dengan rotannya. Lintang pukang lah jawapnya aku bergegas untuk mandi dan pergi sekolah.

Aku paling suka menjala ikan dan "mengagau" ikan bila musim air surut dan padi mula menguning. Tapi kegemaran aku inilah yang menyebabkan emak selalu berang. Bukan apa, bila aku terjun kedalam lolok(selut) "ban" habislah pakaian aku berlumpur. Emak akan tak habis habis berleter kerana terpaksa memberus pakaian aku yang penuh lolok. Tapi mak marah sekejap saja. Lepas itu dia akan baik semula. Selain mencari ikan, aku dan kawan kawan suka memanjat "kuncor". Kuncor adalah sejenis pokok yang tumbuh ditepi bendang. Buah kecil bulat, berwarna merah gelap bila masak dan rasanya masam masam manis. kegemaran kami adalah "merojak" kuncor. Rojak adalah bekas buluh yang dibuat untuk menggaulkan kuncor yang dah masak, fungsi nya serupa gobek sirih, bezanya ia dibuat dari buluh. Caranya ... Bawak alat rojak ini, bawa sedikit gula dan belacan, panjat pokok kuncor, cari tempat yang selesa atas pokok kuncor dan ambil buah kuncor yang dah masak, masukkan dalam bekas buluh, masukkan gula, belacan dan gaul menggunakan "anak rojak". Fuhhh.. sedap tak terkata, boleh duduk berjam jam atas pokok kuncor! Bila dah dapat kuncor, aku dan kawan kawan tak ingat dunia. Tak kira waktu tengahari atau senja.. mesti balik lambat. Waktu makan tengahari, mula lah mak melilau mencari aku. Tempat yang paling senang untuk mencari aku adalah di atas pokok kuncor diatas ban! Mak akan datang dengan rotan ditangan sambil berleter panjang. Aku dan kawan kawan akan lari lintang pukang balik kerumah.

Pernah satu kali asyik leka merojak kuncor, hari hujan renyai renyai. Tapi aku dan kawan kawan buat "derk" saja. Mak kata tempat kami memanjat kuncor tu "keras". Kalau waktu hujan, masa inilah jin penunggu disitu mencari mangsa.. Kalau kena "tegor" dengan jin ini, demam lah jawapnya. Hari itu, nasib aku tak berapa baik, marah mak dah sampai ketahap maksima. Mak kejar aku dengan buloh panjang. Lintang pukang aku lari dan emak tetap mengejar aku.... Nasib baiklah aku diselamatkan oleh mak baruh. Kalau mak baruh dah merpertahankan aku, mak darat tak akan berani merotan aku... selamat!

Emak darat adalah seorang yang panas baran. Dan mulutnya "laser" sikit. Satu lagi perkara yang aku paling malas ialah mandi... Kadang kadang kalau sabtu/ahad, langsung aku tak mandi. Emak akan berleter panjang ... dan ayat "power" mak yang sememangnya membuat aku sakit hati ialah .. "macam mana pelajaran nak masuk... mandi malas... otak jadi beku... udah pulak macam anak bukit...." Sebelum kena leteran panjang mak, aku bingkas bangun dan berlari mendapatkan emak baruh... pasti selamat.

Aku tetap sayangkan emak. Walau macam mana marah pun, mak pasti akan menyediakan makanan istemewa aku... Aku anak manja, makan pun memilih.

Kini semuanya tinggal kenangan. Emak telah kembali kewarahmatullah lebih kurang 10 tahun lepas. Mak menghidap sakit kencing manis, darah tinggi dan kegagalan buah pinggang. Kini tinggal apak seorang dikampung. Masih setia terhadap cintanya kepada mak. Walau pun aku mengajaknya tinggal dengan aku, dia lebih selesa duduk dikampung.. Dekat dengan mak katanya. Well that's will be another story!

Mak Baruh.
Bagi aku, mak baruh adalah "malaikat hidup". Insan yang mempunyai tahap kesabaran yang tiada kesudahan. Insan yang tak pernah merungut walaupun hidup dalam keadaan yang terlalu sederhana. Tak pernah marah dan tak suka mengumpat... Mak baruh setiasa redha dengan segala yang ada. Ayah jatuh sakit sewaktu aku kecil lagi. Jadi emaklah yang bersusah payah mengerjakan bendang yang sekangkang kera. Tapi nasib baiklah ayah ada kebun getah dan kebun durian, jadi tidaklah sempit sangat kehidupan kami.

Aku tidur dengan mak dan ayah. Aku tidur ditengah tengah sampailah aku masuk darjah empat. Aku memang anak yang cengeng... emak memanjakan aku lebih dari anaknya sendiri. Apa saja yang aku minta mesti dapat. Bayangkan aku dah darjah satu, tapi mak baruh masih menggendong aku untuk kesungai ... jauh pulak tu - dalam setengah km.

Walupun aku manja, tapi emak terlalu sayangkan aku, kerana aku rajin menolongnya kesawah dan berkebun sayur ditepi tebing(sungai). Aku suka mananam sayur sayuran dan hasilnya dapat lah kami buat gulai untuk dimakan bersama nasi. Hasil hobi aku menangkap ikan juga dapat membantu mengurangkan perbelanjaan dapur. Ikan yang aku tangkap dapatlah buat lauk untuk makan nasi.

Sesuatu yang paling teristimewa tentang mak baruh adalah kerana aku "berhutang nyawa" dengan mak baruh. Ini adalah kerana kedegilan aku juga. Pernah sekali dimusim banjir aku bermain rakit dengan nyah dan Buan. Aku duduk diatas rakit, tetapi Nyah dan Buan terjun dari rakit. Akibatnya rakit terbalik dan aku tercampak kedalam air. pada masa itu aku masih tidak pandai berenang. Aku hampir kelemasan, tapi nasib baiklah emak baruh datang tepat pada masanya dan menyelamatkan aku... Aku berhutang nyawa pada mak baruh!

Bila musim durian, emak dan ayah akan membuat dangau dalam kebun durian. mak dan ayah akan menebas dan malamnya tidur dipondok durian.. Aku pun ikut tidur dalam pondok durian. tetapi selalunya aku tak turut mengutip durian. Takut! Sebab kebun durian kami berhampiran dengan tanah wakaf (kawasan perkuburan).

Seperti aku katakan tadi, emak baruh adalah "malaikat hidup". Tak pernah sekalipun dia menunjukkan rasa marahnya pada aku. Tak pernah mengatakan "tidak" kepada semua permintaan aku. Pernah sekali, aku meminta mak membelikan cincin emas untuk aku.. Aku menangis seharian dan merajuk seharian kerana nak kan cincin. Emak memujuk ayah untuk membelikan aku cincin, walaupun mak tahu ayah bukannya ada berduit. Tapi pada aku diwaktu itu, aku selalu beranggapan ayah sentiasa ada duit. Selepas ayah meninggal, barulah aku tahu yang ayah duit yang ayah ada cuma "cukup makan saja". Aku rasa sungguh bersalah sampai kehari ini.

Bila aku dapat keputusan cemerlang, orang yang pertama aku beritahu adalah emak baruh. Bila aku dapat tahu yang aku dapat ke Australia, emak baruh adalah orang yang paling gembira!

Bila aku mula berkerja, aku cakap pada emak, yang aku akan menghantarnya untuk mengerjakan haji... alhamdullillah, hasrat aku tercapai dan emak pergi mengerjakan haji pada tahun 1999. Walaupun begitu, emak darat tak sempat pergi kerana emak darat meninggal dunia beberapa bulan sebelum musim haji.

Untuk membalas jasa emak, aku ajak mak duduk dengan aku, tapi mak tak mahu kerana emak tak mahu tinggal seorang dirumah.. Alhamdullilah, mak baruh masih sihat, dan duduk dikampung.

Aku selalu merindui emak, kalau boleh, setiap minggu aku nak balik melawat mak. Melihat emak senyum adalah "syurga" bagi aku. Segala keresahan dalam hidup terasa hilang. Tapi apa nak buat, tuntutan kerja dan keluarga menyebabkan aku jarang balik. Cuma aku sedih kerana anak anak aku tak paham bagaimana sayangnya aku kepada emak dan liat bila aku ajak mereka balik kekampung melawat emak.

Mak, maafkan aku... Kerana cucu cucu mak tak paham betapa susahnya mak membesarkan aku dan melayan kerenah aku ketika aku kecil dulu.

Selamat Hari ibu Mak. I always miss you till my last breath!