Saturday, October 25, 2008

Sajak Sajak Yang dilupakan

Semasa aku dibesarkan dikampung disekitar tahun 70'an, kami adik beradik dibesarkan dalam suasana penuh kapayahan. Teringat lagi macam mana rumah kami tiada air paip, dan terpaksa lah menumpang mandi dan mengambil air dirumah orang yang lebih berada. Kerana kemiskinan kami sekeluarga, waktu malam kami hanya diterangi lampu minyak tanah. Rumah kami hanya beratapkan rumbia, dapur rumah kami hanya bertiangkan dan berlantaikan batang pinang.

Disebabkan kami dibesarkan dalam serba kesusahan, kami memahami kesusahan yang dihadapi oleh orang tua kami. Pagi pagi lagi sudah keluar menoreh. Selesai menoreh, pergi pula kesawah sampai kepetang. Emak balik sekejap waktu tengah hari untuk menanak nasi. Lauknya cuma ikan masin dan gulai taruk salang atau pun taruk ubi. Kami adik beradik tak pernah mengeluh, tapi sentiasa memahami kepayahan yang dihadapi oleh orang tua kami untuk membesarkan kami.

Apak selau berpesan, bahawa dia tiada berharta, yang ada cuma tulang empat kerat yang dihempas untuk mencari sesuap nasi setiap hari. Pesannya, belajor le pandai pandai, apak tak ada harta nak bagi kome, ilmu itu le rete yang apak boleh bagi pade kome".

Kerana kemiskinan, keluarga kami sentiasa dihina. Aku ingat lagi pada satu hari, orang kampung marah marah pada apak, kerana ada kerbau terlepas dan merosak kan padi orang kampung. Orang kampung kata, kalau bukan kerbau Ya, kerbau sapa lagi? Segala yang tak baik semuanya dikaitkan dengan keluarga kami. Apak sentiasa tabah, tak pernah mengeluh dan marah marah.

Kerana kemiskinan jugalah menyebab kan aku berazam untuk belajar pandai pandai. Nak keluar dari jerat kemiskinan. Ianya juga menjadikan aku seorang yang suka membaca. Ulat buku. Sanggup pergi kerumah kawan kawan untuk meminjam buku. Ada duit sikit, aku simpan untuk membeli buku.

Untuk dapat kan duit, terpaksalah aku pergi ketepi hutan untuk mencari pucuk salang, pucuk ubi, pucuk paku untuk dijual. Secekak, harganya lima sen. Kalau dapat seringgit pun aku terlalu gembira. setiap sen yang aku dapat, aku simpan untuk membeli buku. Aku tahu apak pun bukannya berduit, kalau ada pun cuma cukup untuk beli beras, lauk dan minyak tanah. Pernah sekali, aku merengek minta lima sen dari apak untuk beli ais krim, ketika itu apak menghantar padi untuk dimesen untuk dijadikan beras. Rupanya apak memang apak tak ada duit. Bapak tarik aku dari situ dan apak kata dengan baik pada aku. Apak tak ada duit nak bagi, kalau ada tentu bapak dah bagi (masa kecik aku anak manja - maklumlah anak bongsu). Sejak hari itu, aku tak pernah lagi merengek memimta apak belikan apa apa.

Salah satu subjek yang aku suka adalah sajak. Ramai kawan kawan kata aku gila, sebab mereka tak paham, tapi bagi aku sajak sajak ini dalam maknanya. Sajak sajak pada tahum 70'an dulu penuh dengan keluhan kesengsaraan and kesusahan rakyat. Sajak sajak ini memberikan aku kekuatan untuk terus belajar dan mengeluarkan keluarga ku dari jurang kemiskinan.

Sajak Usman Awang dibawah ini adalah sajak yang paling mengesan kan. Ianya tentang kekuatan seorang anak kecil yang yang tahu erti derita dan tahu bahawa ilmu adalah pembela yang akan mengeluarkannya dari jurang kemiskinan:

Gadis Kecil oleh Usman Awang:

Tubuh itu mengingatkan daku
sebatang pinang didesa sepi
kurus dan tinggi
ketika ribut besar
pohon sekitarnya rebah terkapar
dan pohon pinang tegak menanti
sinar matari pagi

Demikianlah gadis kecil itu
kurus seperti sebatang pinang
bertahun berulang alik melalui
penjara kawat duri menemui
ayahnya yang bertahun pula sendiri
menentang setiap penderitaan
tabah dan beriman

Gadis kecil itu mengagumkan daku
tenang dan senyuman agung,
dengan sopan menolak pemberianku
"saya tak perlu wang, pak cik,
cukuplah kertas dan buku"

Usianya terlalu muda
jiwanya didewasakan oleh pengalaman
tidak semua orang mencapai kekuatan demikian
ketabahan yang unik, mempersonakan.

Bila aku menyatakan simpati dan dukaku
rasa pilu terhadapnya
sekali lagi dia tersenyum dan berkata:
"jangan sedih, pak cik, tabahkan hati
banyak anak-anak seperti saya didunia ini"

Aki jadi terpaku
dia,sigadis kecil itu pula mententeramkam
mengawal ombak emosiku
jangan sedih melihat derita pahitnya.
Alangkah malunya hati seorang lelaki dewasa
yang mahu membela manusia derita terpenjara
menerima nasihat supaya tabah dan berani,
dari nak penghuni penjara itu sendiri?

Sepuluh anak seperti dia
akan menghapuskan erti seribu penjara.

1976

1 comment:

Unknown said...

children of our generation generally share the same experience...